Friday, November 6, 2009

info ikan

IKAN LEMAS

PUNCA IKAN LEMAS
1. Kurang oksigen
2. Air terlalu kotor dan berbau
3. Lebihan makanan dan bahan perkumuhan
4. Kandungan ammonia yg tinggi (toksik)
5. Kadar perlepasan ikan terlalu padat
6. Persaingan dapatkan oksigen
7. Pengurusan tidak sistematik

AKIBAT IKAN LEMAS
1. Kadar kematian tinggi
2. Tumbesaran ikan terbantut
3. Tempoh ternakan jadi lama
4. Kualiti ikan rasa hanyir / berbau
5. Pengusaha alami kerugian

CARA MENGATASI IKAN LEMAS
1. Tukar air baru
2. Pastikan pemberian makanan tidak berlebihan
3. Guna alat pengudaraan
4. Kadar perlepasan ikan ikut yg disyorkan
5. Penggunaan teknologi EM
6. Sering buat pemantauan dari semasa ke semasa

PARAMETER KUALITI AIR
* DO(oksigen) : atas 4.0 ppm
* pH : 6.5 - 8.5
* Ammonia : bawah 1.0ppm
* Suhu : 28 - 32 darjah celcius


BIOLOGI AM IKAN

1. PENDAHULUAN
Evolusi ikan atau filogeni telah berkembang melalui beberapa era geologikal hinggalah sekarang. Fosil ikan primitif pertama telah ditemui diera 'Silurian' iaitu kira kira 330 – 350 juta tahun yang lalu. Sebagai contoh Ikan Jerung yang dikenali sebagai Dunkleosteus dijumpai kira kira 400 juta tahun yang lalu. Fosil menunjukkan bahawa ikan ini bersaiz seperti sebuah bas sekolah. Ciri utama ikan ini ialah mereka tidak mempunyai rahang dan kulit badan seperti memakai jaket besi.

Di dalam dunia ini terdapat kira kira 24,600 spesies ikan. 58% daripadanya adalah daripada spesies ikan air masin, 48% ikan air tawar dan 1% adalah perantaraan.

Ikan hanya boleh hidup di dalam air di mana sifat fizikal, kimia dan biologi adalah bersesuaian. Faktor-faktor fizikal antaranya termasuklah suhu, kepadatan dan kelajuan arus. Faktor-faktor kimia lain termasuklah pH dan kandungan oksigen sementara faktor biologi termasuklah makanan semulajadi.

Pengetahuan di dalam aspek anatomi dan morfologi adalah penting di dalam memahami tabiat kehidupan serta penyesuaian ikan terhadap alam sekitar. Di dalam menjalankan aktiviti-aktiviti seperti pembiakan, pemakanan dan kajian penyakit, pengetahuan di dalam aspek ini sangat diperlukan.

2. TAKSONOMI IKAN
Seperti juga tumbuhan dan haiwan yang lain, ikan diklasifikasikan mengikut kehidupan hakikinya di dunia haiwan.

Contoh berikut adalah klasifikasi untuk Ikan Tenggalan:-
ANIMAL KINGDOM ( FAUNA ) Animalia
ANIMAL SUBKINGDOM (PHYLUM ) Chordata
SUBPHYLUM OF ANIMALS Vertebrata
CLASS Osteichthyes (bony fish)
SUBCLASS Actinopterygii
ORDER Cypriformes
SUBORDER Cyprinoidei
FAMILY Cyprinidae
SUBFAMILY Cyprininae
GENUS Puntius Hamilton
SPECIES Puntius bulu

3. MORFOLOGI DAN ANATOMI IKAN
3.1 Struktur luaran ikan teleost
Secara amnya ikan dibahagikan kepada 3 bahagian iaitu kepala, badan dan ekor. Kepala adalah bahagian yang terletak di antara muncung dan operkulum. Pada bahagian kepala ini terdapat mulut, sepasang mata, hidung dan sesungut. Kawasan badan pula ialah daripada bahagian posterior hingga ke dubur. Pada bahagian badan ini terdapat sirip dorsal, pektoral dan pelvik. Bahagian ekor adalah kawasan di antara dubur dan permulaan kaudal pedunkel. Di bahagian ini terdapat sirip anal.

3.1.1 Bentuk badan










3.2 Kulit Ikan
Kulit merupakan pelindung asas untuk ikan daripada alam sekeliling. Ia memainkan peranan yang penting untuk mencegah ikan daripada terkena penyakit. Lapisan lapisan kulit adalah terdiri daripada kutikel, epidermis, dermis, lapisan subkutaneous dan hipodermis (Rajah 2).

Kutikel
Epidermis
Membran asas
Dermis
Hipodermis
Otot Subcutaneous

3.2.1 Kutikel
Ini adalah lapisan pertama dan tebalnya ialah 1 mikron. Ia merupakan lapisan mukopolisakarida dan adalah terdiri daripada sel epitelium atas dan sedikit sel-sel ‘goblet mucosa’. Fungsi sel ini ialah untuk mengeluarkan lendir.

3.2.2 Epidermis
Lapisan ini adalah terdiri dari sel-sel Malphigi dan menutupi semua bahagian luar ikan termasuk sirip dan ekor. Lapisan ini adalah hidup dan boleh bertambah melalui proses pembahagian mitosis. Ketebalan lapisan ini bergantung kepada spesies, umur, tempat dan juga peringkat kematangan. Biasanya ia lebih tebal bagi spesies ikan yang tiada atau kurang sisik (contoh keli dan belut) dan juga di bahagian sirip. Di lapisan ini juga terdapat sel deria.

3.2.3 Dermis
Lapisan ini adalah terdiri daripada dua bahagian iaitu ‘stratum spongiosum’ di luar dan ‘stratum compactum’ dan lapisan ini dibekalkan dengan salur darah dan gentian saraf. Di dalam ‘stratum spongiosum’ dipenuhi dengan serabut kolagen dan retikulin, sel pigmen (kromatofor), sel mas (mast cell), sel pangkal sisik dan juga sel sisik. ‘Stratum compactum’ merupakan satu struktur yang menguatkan kulit. Dengan adanya kromatofor di dalam lapisan ini ikan berupaya bertukar warna untuk menyesuaikan diri di dalam air semasa pembiakan, sakit atau berlindung daripada musuh. Selain daripada itu dermis memainkan peranan utama di dalam pembentukan sisik.

3.2.4 Hipodermis
Lapisan hipodermis adalah terdiri daripada tisu adipos yang kurang padat dan lebih bervaskular jika dibandingkan dengan lapisan dermis. Sisik ikan dihasilkan oleh sel-sel di bahagian ini. Walaupun sisik ini keras tetapi ia boleh dilentur. Terdapat dua jenis sisik ikan teleosts, sisik stenoid dan sikloid. Sisik sikloid adalah berbentuk seperti cakera sementara sisik stenoid mempunyai struktur menyerupai gigi sikat di pinggir permukaan posterior. Contoh untuk ikan air tawar yang mempunyai sisik stenoid ialah ikan patung, betok dll. Contoh ikan yang mempunyai sisik sikloid ialah ikan kelisa, ikan haruan dll.




3.2.5 Otot
Otot-otot di badan ikan digunakan untuk pergerakan sirip. Ia meliputi kawasan dari tulang kepala hingga ke pangkal ekor ikan dan disusun dalam dua barisan di keduadua belah bahagian ikan. Dua barisan otot ini (dorsal dan ventral) dipisahkan oleh tisu penyambung (conjunctive) mendatar. Bahagian rahang dan penutup insang juga mempunyai kumpulan ototnya sendiri.


3.3 Tulang kerangka
Susunan kerangka ikan dapat dilihat dalam Rajah 5. Tengkorak terdiri daripada kranium keras di mana tulang rahang, insang dan penutup insang dari kranium keras disendikan. Strukturnya adalah lebih kompleks. Bilangan vertebranya adalah tidak tetap untuk sesuatu spesies ikan, dan ia dipengaruhi oleh keadaan alam sekitar semasa pertumbuhan larva ikan.

Sirip ikan terdiri daripada 5 jenis iaitu sirip pelvis, sirip pektoral, sirip dorsal, sirip dubur dan sirip ekor. Tulang sirip terbahagi kepada dua jenis, iaitu tulang keras dan tulang lembut. Tulang keras tidak berbuku, pejal dan tidak boleh dibengkokkan. Biasanya tulang yang keras ini ialah duri dan merupakan alat untuk mempertahankan diri. Tulang lembut mudah dibengkokkan dan berbuku atau beruas. Bentuknya berbeza bergantung kepada spesies ikan.


4. FISIOLOGI IKAN TELEOSTS

4.1 Sistem pernafasan
Kebanyakan ikan bernafas melalui insang yang terletak di bahagian belakang dan tepi kepala. Insang dilindungi oleh operkulum yang boleh bergerak. Ikan teleosts mempunyai empat pasang insang dan sepasang insang tanpa lamella.Insang ini dipenuhi dengan saluran darah dan terletak di lengkung insang. Bahagian depan lengkung insang adalah bergerigi dan dipanggil sebagai sisir insang. Sisir insang bertindak sebagai penapis dan ia mengarah ke rongga mulut. Di bahagian belakang lengkung insang terdapat susunan lamela.

Pernafasan berlaku apabila ruang insang mengembang. Ketika ini air masuk ke dalam mulut melalui lamela di mana oksigen diserap dan seterusnya air keluar melalui celah insang apabila ruang insang kempis. Kadar pernafasan ikan bergantung kepada kandungan suhu dan kandungan oksigen terlarut dan mempunyai julat antara 15 hingga 150 kali seminit.


Spesies ikan yang bernafas melalui udara boleh mengambil oksigen secara langsung. Organ pernafasan ikan jenis ini, adalah mukosa dan mulut atau usus, pengubahsuaian insang dalam bentuk paru paru (ikan keli) dan rongga khas yang bersambung dengan mulut labirinth (ikan haruan). Kumpulan ikan yang mempunyai paruparu menggunakan pelampung sebagai paru-paru. Ikan kumpulan ini boleh hidup di dalam air yang kurang oksigen terlarut atau di kawasan berlumpur yang lembab.

4.2 Sistem peredaran darah
Ikan mempunyai sistem peredaran darah yang agak mudah, di mana darah mengalir secara berterusan melalui sistem tiub yang terdiri daripada jantung dan salurannya. Secara ringkasnya, darah dipam oleh jantung ke insang untuk menyerap oksigen dan kemudiannya disalurkan ke tisu badan dan balik ke jantung.

Peredaran darah dalam ikan adalah secara sistem peredaran tunggal. Di dalam sistem ini jantung menerima kembali darah melalui sinus venosus. Darah seterusnya dialirkan ke atrium dan ke ventrikel untuk dipam keluar melalui aorta ventral ke insang. Saiz jantung ikan bergantung kepada spesies. Oleh kerana isipadu dan tekanan darah ikan adalah rendah, maka saiz jantungnya (disebut sebagai ppt berat badan) adalah kurang daripada vertebrata yang lain. Bagi ikan yang pergerakannya perlahan, saiz jantung adalah kurang daripada 1 ppt berat badan, tetapi bagi ikan yang aktif, nilai tersebut selalunya adalah 1.2 ppt.

Darah ikan adalah sama seperti darah vertebrata yang lain, iaitu mengandungi plasma dan sel darah. Jika dibandingkan dengan mamalia, berat isipadu darah adalah rendah, iaitu di antara 1.5 – 3 % daripada berat badan. Ikan tidak mempunyai nodus limfa dan tulangnya selalu tidak mempunyai rongga medula bagi pembinaan darah. Walau bagaimanapun tisu-tisu hematopisis (tisu pembina darah) terdapat di dalam stroma limfa, buah pinggang, usus, timus serta berserakan di serata saluran darah.

4.3 Sistem penghadaman
Sistem penghadaman terdiri daripada beberapa bahagian. Mulut adalah bahagian pertama dan ianya dihubungkan dengan farinks dan seterusnya ke eosophagus. Esofagus pula disambungkan dengan perut (atau usus bagi spesies yang tidak mempunyai perut benar), dan seterusnya dengan usus. Usus pula bersambung ke dubur. Organ-organ ini adalah untuk menukarkan makanan yang diambil kepada bahan-bahan yang boleh digunakan oleh badan. Bentuk mulut ikan boleh dibahagikan kepada 3 kategori asas iaitu mulut yang menghadap ke atas seperti ikan ketutu (superterminal), menghadap ke hadapan seperti ikan baung (terminal), menghadap ke bawah seperti ikan patin (subterminal atau inferior), bergantung kepada tabiat pemakanannya. Rongga mulut biasanya dilengkapkan dengan gigi yang pelbagai bentuk dan bilangannya. Farinks terletak di antara mulut dan insang. Esofagus adalah pendek dan sempit. Bahagian hadapan perut ikan mempunyai otot dan berfungsi sebagai pengisar. Usus ikan adalah melingkar dan berbelit-belit di dalam abdomen. Usus ikan karnivor adalah pendek dan lurus. Ikan herbivor adalah panjang dan berbelit-belit.

Di dalam usus ikan terdapat lipatan seperti vilus kerana vilus sebenarnya tidak ada pada ikan. Dubur ikan terletak di hujung usus. Enzim penghadaman dirembeskan oleh pankreas, perut dan usus. Hati, organ yang besar dan kaya dengan lemak membantu penghadaman lipid.

4.4 Sistem perkumuhan
Ginjal adalah terletak di kawasan antara pelampung dengan turus spina dan ia berfungsi sebagai penapis bahan buangan perkumuhan dari badan ikan. Bahan buangan ini melalui pundit kencing dan ke saluran kencing dan seterusnya ke lubang urogenital.

4.5 Sistem saraf
Seperti juga jenis jenis haiwan vertebrata yang lain, sistem saraf bagi ikan adalah terdiri daripada sistem saraf pusat dan sistem saraf periferi. Sistem saraf pusat mengandungi bahagian otak dan batang spinal. Sitem saraf periferi pula meliputi semua saraf yang keluar daripada sistem saraf pusat, hujung saraf tersebut atau organ deria. Pada amnya otak ikan mengandungi komponen-komponen asas seperti haiwan vertebrata peringkat tinggi, tetapi berlainan bentuk dan kekompleksannya. Ikan mempunyai 5 bahagian otak yang dikenali dengan nama telensefalon, diensefalon, mesensefalon, serebelum dan medulla oblongata.

Batang spinal ikan terletak memanjang di seluruh tubuh badan bermula daripada otak dan berakhir di organ endokrina yang dinamakan urofisis. Sistem saraf periferi mempunyai 10 saraf kranium yang menghubungkan organ deria dan viscera serta mengawal fungsi kawalan dan luar kawalan. Organ deria bagi ikan ialah mata, labirin, garis sisi dan olfaktori.

4.5.1 Mata
Mata ikan teleosts adalah sama seperti mata vertebrata yang lain. Sklera, lapisan luar berserabut, mempunyai tiga selitan otot okulomotor yang dikawal oleh saraf kranium III. Sklera diperkukuhkan oleh tulang atau tulang rawan. Kornea, mempunyai ‘refractive index’ yang sama dengan air. Kanta mata ikan adalah berbentuk sferoid. Ia terkeluar sedikit dari iris untuk mendapatkan darjah pemandangan yang luas. Pada kebanyakan spesies ikan kanta atau kornea adalah 'tinted'. Iris ikan tidak dapat dikembang dan dikuncupkan kerana otot pencerut dan dilator tidak terbentuk dengan baiknya. Retina adalah tisu yang peka kepada cahaya.







4.5.2 Labirin
Labirin adalah berevolusi dari garis sisi hingga menjadi organ deria yang kompleks. Organ ini berfungsi untuk menjaga keseimbangan dan pendengaran.Labirin terdiri daridapa dua bahagian yang bersambung iaitu salur separuh bulat dan organ otolit.

4.5.3 Garis sisi
Komponen-komponen utama sistem garis sisi ialah saluran garis sisi di kedua-dua belah badan ikan. Saluran ini dihubungkan dengan alam sekitar melalui lubang-lubang kecil yang tersusun di sepanjang saluran tersebut. Reseptorreseptor mekanik terletak di dasar saluran berselang seli dengan lubang-lubang tersebut.

4.5.4 Olfaktori dan pengecap
Organ olfaktori adalah sepasang lubang kecil di muncung ikan di mana setiap lubang terdapat juring kulit yang membahagikan lubang tersebut kepada saluran masuk, dan saluran lawas posterior. Air masuk menerusi saluran masuk dan melalui epitilium olfaktori yang berbentuk vilus.












Organ pengecap iaitu tunas perasa didapati di permukaan luar bibir kepala, sesungut dan sirip serta di atas sisir insang, lengkong insang dan mulut. Bagi spesies tertentu ia tersebar di seluruh permukaan badan. Biasanya ia dikawal oleh saraf kranial VII, IX dan X. Tunas pengecap terdiri daripada kumpulan sel tembereng memanjang untuk dibentukkan menjadi sfera. Sel-sel ini adalah terdiri daripada sel reseptor, penyokong dan asas.

4.6 Pelampung Ikan Teleost
Pelampung yang dipenuhi dengan gas merupakan 7% daripada isipadu badan ikan. Fungsi utamanya ialah untuk membolehkan ikan terapung semasa berenang atau berehat. Ia juga berfungsi untuk menerima bunyi dan mengesan tekanan, dan bagi beberapa spesies digunakan untuk mengeluarkan bunyi. Perkembangan pelampung bermula di peringkat larva. Pelampung ini terdiri daripada dua ruang yang dipisahkan oleh diafragma. Dinding pelampung di hadapan adalah lebih tebal kerana ia berfungsi untuk menerima dan menyimpan gas. Ruang di belakang berfungsi untuk penyerapan semula gas.

5. HABITAT
Setiap spesies ikan mempunyai kawasan tersendiri untuk membiak dan berkembang. Kesesuaian spesies tersebut kepada kawasan ini adalah bergantung kepada sumber makanan yang banyak dan keadaan kualiti air yang tinggi. Contohnya anak sungai amnya dihuni oleh ikan yang lebih kecil seperti Ikan Sia, Ikan Rong dan Ikan Seluang. Jika sekiranya kawasan ini tercemar oleh aktiviti misalnya pembalakkan yang menyebabkan kualiti air merosot maka ikan-ikan ini akan berhijrah ke kawasan baru dan membentuk koloni baru. Sungai yang lebih besar akan didiami oleh ikan yang lebih besar. Faktor faktor seperti kualiti air yang baik dan keterdapatan sumber makanan akan menyebabkan ikan-ikan tersebut terus mendiami kawasan itu. Pada asalnya tasik dan empangan buatan manusia tidak didiami oleh sesuatu spesies ikan pun. Ikan-ikan yang ada di dalam takungan tersebut adalah ikan-ikan sungai asli yang telah ditenggelamkan semasa pembinaan takungan tersebut. Lama kelamaan beberapa spesies asli ikan sungai telah berjaya menyesuaikan diri dengan persekitaran baru ini dan terus berkembang sementara spesies yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran baru ini terus pupus.

6. TABIAT PEMAKANAN
Cara ikan makan adalah berbeza di antara spesies. Ada ikan yang makan daging. Ada yang makan tumbuhan dan ada yang makan keduaduanya. Dalam sesuatu ekosistem juga terdapat ruang atau aras pemakanan ‘feeding niche’ yang digunakan oleh ikan. Contohnya ada ikan yang makan di dasar dan ada yang makan di permukaan. Berdasarkan kepada ciri-ciri ini spesies ikan boleh dikelaskan kepada :-

6.1 Pengkelasan mengikut cara makan
6.1.1 Ikan Karnivor
Kumpulan ikan ini adalah dari jenis pemangsa. Mereka mempunyai gigi yang tajam untuk mengoyak daging mangsa. Sisir insangnya adalah pendek dan bilangannya adalah sedikit. Sisir ikan yang pendek dan tajam ini membantu memegang mangsa sebelum ianya ditelan. Contoh spesies ikan dalam kumpulan ini ialah Ikan Haruan, Ikan Toman, Ikan Sebarau dll.

6.1.2 Ikan Herbivor
Kumpulan ikan ini memakan tumbuh-tumbuhan dalam air. Mereka mempunyai gigi faring bergerigi (serrated) untuk memotong dan mengoyakkan sel-sel tumbuhan dan seterusnya memudahkan proses penghadaman. Contoh terbaik ialah Ikan Kap Rumput.

6.1.3 Ikan Omnivor
Kumpulan ikan ini bukan sahaja memakan haiwan tetapi juga tumbuh-tumbuhan . Contoh yang terbaik ialah Ikan Jelawat. Pengkelasan ikan berdasarkan tabii pemakanan kadangkala menimbulkan masalah. Contohnya Ikan Jelawat (Leptobarbus hoevenii) adalah dikelaskan sebagai omnivor, tetapi jika diberi pilihan ia akan menjadi pemangsa yang effisien. Contoh yang lain ialah Ikan Kap Rumput. Spesies ini adalah kumpulan ikan yang memakan tumbuhan, tetapi ia tidak boleh dianggap sebagai herbivor sebenar kerana ia tidak berupaya untuk menghadam selulosa. Pada amnya semua spesies ikan pada peringkat larva dan benih adalah planktivora dengan memakan zooplankton atau fitoplankton.

6.2 Pengkelasan ikan berdasarkan ruang pemakanan
6.2.1 Pemakan dasar
Spesies ikan ini memungut makanan daripada dasar dan makanannya adalah terdiri daripada siput, larva Chironomid dll. Kebolehan memakan cara ini adalah bergantung kepada struktur mulut dan gigi faring dan sisir insang (gill rakers) spesies tersebut. Pemakan di dasar seperti Ikan Lee Koh mempunyai struktur mulut inferior iaitu rahang atas lebih panjang daripada rahang bawah, gigi faring seperti geraham yang membantu di dalam pengisaran makanan, dan sisir insang yang halus.

6.2.2 Pemakan pertengahan
Spesies ini memugut makanan di antara dasar dan permukaan. Ikan jenis ini mempunyai struktur mulut terminal, iaitu rahang atas dan rahang bawah sama panjang. Ini membolehkannya memungut makanan dari semua sudut. Sisir
insang adalah kasar dan bilangannya adalah sedikit. Contoh Ikan Jelawat.

6.2.3 Pemakan permukaan
Spesies ikan ini memungut makanannya dari permukaan air, kira-kira 0.3 m dari permukaan. Ikan ini mempunyai kedudukan mulut yang superior. Iaitu rahang bawah lebih panjang dari rahang atas. Ia membolehkan ikan tersebut memungut makanan yang ada di permukaan air. Sisir ikannya adalah halus dan membantu menapis plankton yang masuk bersama air. Contohnya Ikan Kap Kepala Besar. Sisir ikan yang makan fitoplankton (Sepat Siam) lebih halus dari pemakan zooplankton.

7. TABIAT PEMAKANAN
Lazimnya ikan adalah heteroseksual. Individu jantan lazimnya mempunyai sepasang testis dan yang betina sepasang ovari. Organ ini terletak di kedua belah turus spina di dalam rongga abdomen. Proses pembentukan gonad tidak akan terbatas apabila ikan diternak dalam kurungan. Pembentukan gonad akan berterusan sehingga ia mencapai peringkat kematangan tersier. Masalah yang timbul hanyalah di peringkat pengeluaran gamet di mana proses ini akan terhalang.

7.1 Endokrinologi pembiakan
Di dalam proses pembiakan, penerimaan rangsangan seperti fotokala, suhu, hujan dan lain-lain disalurkan melalui sistem saraf penerima kepada sistem saraf pusat. Rangsangan yang diterima oleh thalamus bawah menyebabkan bahagian ini mengeluarkan bahan kimia yang dikenali sebagai Faktor Pelepas Hormon Gonadotrofin. Bahan ini akan merangsang kelenjar pitituari untuk mengeluarkan hormon gonadotrofin yang bertindak terhadap organ pembiakan. Sebagai tindakbalas, organ pembiakan mengeluarkan steroid jantina. Ovari mengeluarkan beberapa steroid yang dipanggil sebagai kumpulan estrogen. Beberapa jenis ikan lain mengeluarkan progesteron. Estrogen adalah terlibat dalam pembentukan sifat-sifat jantina dan juga merangsang perlakuan mengawan ikan betina. Testis ikan mengeluarkan steroid yang dipanggil endrogen di mana testosteron adalah hormon yang terpenting. Hormon kumpulan endrogen mengawal pembentukan sifat-sifat jantina dan perlakuan untuk mengawan ikan jantan. Secara amnya pembiakan, ikan boleh dikategorikan kepada :-

7.2 Pembiakan secara semulajadi.
7.2.1 Membiak secara semulajadi dalam kurungan saperti di dalam kolam. Ikan Lampam Jawa membiak pada musim hujan. Dayabiak adalah tinggi. Induk seberat 0.6 kg boleh menghasilkan telur hampir 1 juta biji.

7.2.2 Membiak di hulu hulu sungai. Pada musim pembiakan penghijrahan ikan ke hulu sungai berlaku untuk mengawan dan merembeskan telur (spawning). Ikan betina akan merembeskan telur untuk dilekatkan kepada batu atau pasir (bagi spesies yang mempunyai telur jenis melekit). Ikan jantan akan merembeskan sperma ke atas telur-telur tersebut bagi melengkapkan proses persenyawaan. Aliran air yang deras itu akan membekalkan oksigen yang diperlukan untuk perkembangan dan tumbesaran telur. Kadangkala sifat penjagaan ibu bapa (parental care) ditunjukkan saperti Ikan Haruan.

7.3 Tidak boleh membiak dalam kurungan tetapi boleh membiak dalam kawasan khas yang dibina mirip kepada kawsan semulajadi. Ikan ini boleh dibiakkan secara aruhan. Contoh ialah pembinaan ‘bangle bundh’ untuk ikan kap India seperti Ikan Rohu, Ikan Katla dan Ikan Tongsan.

7.4 Ikan yang membesar dan membiak dalam ekosistem yang berlainan (air tawar dan air masin). Ikan ini juga boleh dibiakkan secara aruhan. Kumpulan ini merangkumi spesies ikan laut dan ikan air tawar. Bandeng (Chanos chanos), salmon, dan belut (Anguilla sp) adalah tergolong dalam kumpulan ini. Ikan salmon misalnya membesar di air masin tetapi berhijrah untuk bertelur di hulu sungai di mana persekitarannya adalah air tawar (anadramos). Sebaliknya belut (Anguilla sp) hidup di air tawar dan berhijrah untuk membiak di air masin (katadromos).

8. CIRI-CIRI IKAN YANG SESUAI UNTUK TERNAKAN DAN FAKTOR PEMILIHAN

Walau apapun sistem ternakan yang diamalkan kriteria pemilihan spesies
adalah bergantung kepada faktor biologi dan ekonomi.

8.1 Faktor biologi
8.1.1 Spesies yang cepat membesar.
Spesies yang mempunyai kadar tumbesaran yang cepat adalah menguntungkan. Ini adalah kerana ianya boleh mencapai saiz pasaran dalam masa yang singkat. Pada masa ini terdapat ikan yang boleh cepat membesar melalui kaedah bioteknologi seperti ikan transgenik. Ikan Tilapia monoseks jantan lebih cepat membesar daripada Ikan Tilapia betina.

8.1.2 Spesies yang dapat menggunakan makanan semulajadi serta boleh menerima makanan tambahan yang diberikan. Ini khususnya untuk ikan yang akan digunakan untuk ternakan ikan dalam kolam. Dengan ternakan secara polikultur kesemua ruang pemakanan dalam kolam dapat digunakan sepenuhnya. Makanan semulajadi adalah dalam kuantiti yang terhad. Makanan tambahan seperti rumusan dalam bentuk pelet diberikan untuk ternakan selanjutnya.

No comments: